Perang Nuklear Pada 3500 Tahun Lampau?

Mahabaharata dan Ramayana ceritakan berlaku peperangan besar pada zaman purba yang turut membabitkan senjata nuklear, peluru berpandu. Dua epik India kuno, Mahabaharata dan Ramayana yang dipercayai ditulis kira-kira 3,500 tahun lalu, menceritakan tercetusnya satu kejadian besar pada zaman purba yang benar-benar membuatkan pembaca khususnya penyelidik terpaku kebingungan.

Meneliti baris demi baris dalam cerita panjang yang ditulis pada dua epik berbahasa Sanskrit itu membuatkan penyelidik tertanya-tanya akan kebenarannya dan sehingga kini peristiwa yang terkandung dalam setiap ayat yang tertera pada epik itu masih kekal misteri. Benarkah perang nuklear sudah tercetus pada zaman India kuno, ribuan tahun lalu? Persoalan itu mendorong kalangan penyelidik untuk mencari logik di sebalik cerita yang ditulis menerusi epik berkenaan.

Malah, tatkala meneliti ayat yang menyatakan peperangan itu turut membabitkan pesawat canggih dan digambarkan seperti jet pejuang dan piring terbang pada masa kini, penyelidik semakin terpinga-pinga kehairanan. Epik terbabit ditulis kira-kira 3,500 tahun lalu atau pada 1,500 Sebelum Masihi (SM) tetapi peristiwa peperangan yang tercatat di dalamnya dikatakan berlaku lebih lama iaitu 5,000 tahun lalu.
Mengikut logik akal, keadaan di bumi ketika itu masih terlalu kuno serta jauh daripada perkembangan sains dan teknologi. Pesawat dan jet pejuang yang mampu menembak misil masih belum dicipta ketika itu, apatah lagi teknologi bom nuklear. Sekiranya berlaku peperangan ketika itu, ia seharusnya membabitkan senjata tradisional seperti pedang, tombak dan panah saja. Paling dahsyat pun peperangan itu, ia akan kelihatan seperti filem '300' yang mengisahkan peperangan pahlawan Sparta menentang Parsi tetapi era Sparta wujud sekitar 500 SM sedangkan peperangan India Kuno itu dikatakan berlaku lebih lama iaitu lebih 3,500 SM. 

Begitulah gambarannya mengikut logik akal tetapi penulis epik terbabit menggambarkan seolah-olah peperangan India kuno yang berlaku itu membabitkan senjata nuklear malah serangan turut membabitkan pesawat yang mampu menembak peluru berpandu. Lebih membingungkan penyelidik, penulis terbabit menggambarkan keadaan itu bagaikan dia melihat sendiri kewujudan kapal terbang terbabit serta mengalami sendiri betapa dahsyatnya kesan letupan bom paling bahaya itu.

Epik Mahabharata dan Ramayana mengisahkan konflik yang tercetus antara dua sepupu iaitu Kurawa dan Pandawa yang hidup di tepi Sungai Gangga. Perjalanan epik itu juga turut menceritakan dua peperangan hebat yang berlaku antara kerajaan Alengka dan Astina, ketika itu.
Perang kali pertama (1) dicatatkan seperti berikut (terjemahan) : "Bahawa Arjuna yang gagah berani, duduk dalam Vimana (kenderaan udara mirip pesawat) dan mendarat di tengah air, lalu meluncurkan Gendewa (mungkin tembakan atau peluru berpandu) yang dapat menimbulkan sekali gus melepaskan nyala api yang kuat ke atas wilayah musuh. Seperti hujan lebat yang kencang, mengepung musuh dengan kekuatannya yang sangat dahsyat."

"Dalam sekelip mata, sebuah bayangan yang tebal dengan cepat terbentuk di atas wilayah Pandawa; angkasa menjadi gelap gelita, semua kompas yang ada dalam kegelapan menjadi tidak berfungsi, kemudian badai angin yang dahsyat mula bertiup disertai dengan debu pasir, burung bercicit panik, seolah-olah langit runtuh, bumi merekah.

"Matahari bergoyang di angkasa, panas membara mengerikan yang dilepaskan senjata ini membuat bumi bergoncang, gunung bergoyang, di kawasan darat yang luas, binatang mati terbakar dan berubah bentuk, air sungai kering kontang; ikan, udang dan lainnya semuanya mati.
"Saat Gendewa meledak, suaranya bagaikan halilintar, membuat askar musuh terbakar bagaikan batang pohon yang terbakar hangus."

Gambaran pada perang kali kedua (2) lebih memeningkan penyelidik lebih-lebih lagi menerusi terjemahan berikut:
"Pasukan Alengka menaiki kenderaan yang cepat, meluncurkan sebuah rudal (mungkin sejenis peluru berpandu) yang ditujukan ke kota pihak musuh. Rudal ini seperti mempunyai segenap kekuatan alam semesta, terangnya seperti terang puluhan matahari, kembang api bertebaran naik ke angkasa, sangat indah."

"Mayat terbakar sehingga tidak mampu dibezakan. Bulu rambut dan kuku terbakar menggelupas, perkakas tanah liat retak, burung yang terbang terbakar oleh suhu tinggi. Demi untuk menghindari kematian, askar terjun ke sungai membersihkan diri dan senjatanya."
Selesai membaca dan mengkaji epik berkenaan, penyelidik mula menjelajahi bumi India bagi mencari kepastian terhadap cerita yang tertulis itu. Mereka mula menyusuri sepanjang Sungai Gangga bagi mencari kemungkinan adanya tinggalan arkeologi peperangan itu.

Hasilnya amat memeranjatkan penyelidik. Ekspedisi itu menemukan ahli arkeologi dengan banyak kesan runtuhan yang memiliki kesan hangus terbakar di hulu Sungai Gangga. Batu besar pada runtuhan itu terlekat menjadi satu, permukaannya pula menonjol, cengkung dan tidak rata.

Kajian saintifik mendapati proses untuk meleburkan batuan berkenaan memerlukan suhu tinggi melebihi 1,800 darjah Celsius. Dengan kata lain, bara api biasa tidak mampu mencapai suhu setinggi itu dan hanya ledakan nuklear saja mampu mencapai suhu demikian.

Di dalam hutan primitif di pedalaman India pula, penyelidik menemui lebih banyak runtuhan batu hangus. Tembok kota yang runtuh serta tinggalan yang ditemui menjadi seakan kristal dan kaca.

Dalam kebingungan diselubungi enigma, penyelidik berpendapat yang mungkin pada lebih 5,000 tahun lalu sudah wujud suatu peradaban di India yang terlalu futuristik dan maju sehingga mampu membina pesawat perang dan senjata nuklear.

Akan tetapi atas sebab tertentu atau mungkin juga akibat perang nuklear terbabit, peradaban maju India kuno itu lenyap bersama teknologi dan rahsia sains yang dikuasai mereka, sehingga manusia mula menyangka yang dunia purba adalah mundur dan primitif.
Cuba kita renungkan apa yang telah tercatat di dalam Al-Quran : 
Apakah mereka tidak memperhatikan beberapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai yang mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain. [Qs.Al-An'am: 6]
Share this article :
 

+ ulasan + 2 ulasan

reza abadi
3 May 2011 at 22:16

terima kasih di atas perkongsian ini

Anonymous
6 May 2011 at 18:24

perkongsian yang menrik..mohon share di blog saya..tq..

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MacJay.Net - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger